Perarakan Gawai Dayak ‘Niti Daun’ 2024 Bakal Berlangsung 15 Jun Depan

Posted on 14 May 2024
Source of News: UKAS



KUCHING: Perarakan Gawai Dayak ‘Niti Daun’ 2024 bakal berlangsung pada 15 Jun depan di Tebingan Sungai Kuching.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kontinjen yang menyertai perarakan tersebut terdiri daripada komuniti Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Kadazan Dusun.

 

Menurutnya, sejumlah 110 kontinjen yang melibatkan 3,300 orang telah mendaftar dan komuniti Kadazan Dusun akan dibawa melalui Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak.

 

“Sebanyak 12 kontinjen daripada setiap kementerian di Sarawak akan mengambil bahagian dan kontinjen terbesar adalah daripada komuniti Iban dengan sebanyak 38 kontinjen.

 

“Ia diikuti oleh kontinjen komuniti Bidayuh sebanyak 25 kontinjen, kontinjen komuniti Orang Ulu sebanyak tujuh kontinjen dan Kadazan Dusun dengan tiga kontinjen,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan Perarakan Gawai Dayak ‘Niti Daun’ 2024 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

 

Katanya, sebanyak 14 ‘float’ kebudayaan akan mengambil bahagian terdiri daripada empat Bidayuh, empat Iban, dua Orang Ulu, satu Kadazan Dusun dan KDCA Sarawak masing-masing serta dua float veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan 140 orang.

 

“Sebelum perarakan bermula, upacara pemberkataan ‘pisien’ daripada komuniti Bidayuh akan diadakan di Bangunan Tun Jugah,” katanya.

 

Laluan sepanjang 1.2 kilometer (km) akan bermula di kawasan Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Sungai Kuching, kawasan Jambatan Darul Hana.

 

Difahamkan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut bakal hadir sebagai tetamu kehormat.

 

Billy menambah, pertandingan kontinjen terbaik juga akan diadakan dan pemenang akan membawa pulang wang berjumlah RM10,000, RM7,000 dan RM5,000. -EDISI UKAS