ABU DHABI: Kerajaan Sarawak telah mengenalpasti model pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang di Abu Dhabi bagi melaksanakan sektor sama di Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini termasuk melihat dari aspek perspektif perkhidmatan dan kos.
"Jadi kita dapat mengira kos yang diperlukan dan bagaimana kita membangunkannya.
"Kalau Pelabuhan Abu Dhabi, ia dilaksanakan melalui gandingan sektor swasta dan sektor awam. Kita melihat sektor swasta turut membantu pembangunan pelabuhan ini.
"Selain itu kita hendak mengenalpasti model terbaik untuk kita membangunkan industri penerbangan kita," jelasnya kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed di sini, pada Rabu.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan Abu Dhabi Ports Group di Pelabuhan Khalifa.
Premier Sarawak turut menekankan kepentingan untuk mengadaptasi kepesatan teknologi yang digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed sebagai model pembangunan sektor sama di Sarawak.
"Kita telah melihat bagaimana Abu Dhabi membangunkan lapangan terbang yang begitu canggih dan menggunakan teknologi terkini termasuk pergerakan langsung penumpang di dalam lapangan terbang ini.
"Dan juga dari sudut seni bina ia adalah bangunan yang berada dalam kategori indeks bangunan hijau, di mana kita mempunyai semua komponen yang diperlukan untuk membangunkan lapangan terbang.
"Kita juga perlu melihat masa depan kerana Sarawak baru membangun. Kita perlu mengambil kira apa yang berlaku di pasaran," tambahnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu merangkap Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar Adenan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak yang lain.