MIRI: Raptai bagi Program Bakti MADANI (PBM) Miri 2025 yang bertemakan 'Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) Ke Arah Pemerkasaan Rakyat' telah berlangsung dengan lancar dan teratur di Stadium Tertutup Miri, pada Rabu.
Latihan ini merupakan persiapan akhir menjelang program utama yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei nanti.
Pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program yang bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni; Pengarah Perkhidmatan Korporat RECODA, Dr. Hadysyam Junaid serta Pengarah Wilayah Highland Development Agency (HDA), Juan Ubit.
PBM Miri 2025 dilihat sebagai platform strategik untuk memperkasakan komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang selaras dengan aspirasi SCORE dalam menyokong pertumbuhan hijau dan mampan di Sarawak.
Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, menerusi pendekatan inklusif yang berteraskan rakyat.-EDISI UKAS