KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah menerusi pelaksanaan projek perumahan mampu milik yang inklusif dan mampan.
Projek Rumah Spektra Permata (RSP) Tabuan Melayu II yang kini sedang giat dibangunkan di kawasan N5 Demak Laut merupakan antara inisiatif terbaharu yang dirangka bagi memastikan rakyat, terutama golongan B40 untuk berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abg Hipni, projek ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah satu langkah strategik kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti hidup dan mobiliti sosioekonomi penduduk setempat.
“Kerajaan negeri memahami keperluan untuk mengimbangi pembangunan fizikal dengan keperluan kemanusiaan. Kita mahu pastikan rakyat bukan sahaja ada rumah, tetapi rumah yang selamat, teratur dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Dimulakan pada Ogos 2023, projek ini dijangka siap dalam dua fasa iaitu satu blok menjelang akhir 2026, dan satu lagi pada penghujung 2027.
Ia akan merangkumi sejumlah unit rumah mampu milik lengkap dengan sistem perparitan moden, loji rawatan kumbahan, pencahayaan jalan dan jaringan jalan raya yang tersusun.
Projek ini turut membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan penyelenggaraan, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Difahamkan, rumah-rumah di bawah projek ini dikhususkan kepada penduduk Tabuan Melayu yang memenuhi syarat seperti golongan B40 dan tidak memiliki tanah atau rumah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut turut menyeru agar semua penduduk Demak Laut terus memberi sokongan agar manfaat pembangunan ini dapat dirasai sepenuhnya dalam jangka masa panjang.-EDISI UKAS