KUCHING: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) Datuk Dr. Jerip Susil telah menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taba Sait, BRS.
Rombongan yang diketuai oleh Ketua Kaum Kampung Taba Sait, Sayang Bidi, bersama barisan kepimpinan JKKK kampung telah bertemu Datuk Dr. Jerip di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya pada Rabu.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengadakan perbincangan berhubung keperluan pembangunan kampung dan pelaksanaan aktiviti komuniti di bawah JKKK.
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuklah pembaikan infrastruktur asas, pembangunan kemudahan awam serta pelaksanaan program-program yang boleh memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung.
Dalam pertemuan tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.19 Mambong menzahirkan penghargaan terhadap kunjungan pihak JKKK dan menyambut baik keprihatinan mereka dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat kampung.
Beliau juga memberikan jaminan untuk meneliti setiap cadangan dan permohonan yang dikemukakan serta berikrar untuk membantu melaksanakan pembangunan yang dirancang secara berperingkat dan efektif. -EDISI UKAS