Lawatan Pra Gawai Ziarahi 11 Rumah Panjang di Skim B Meradong

Disiarkan pada 07 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Sebanyak 11 rumah panjang di kawasan Skim B Meradong dikunjungi dalam Lawatan Pra Gawai anjuran Pusat Khidmat DUN Meradong pada Isnin.

Program tahunan ini bertujuan menyantuni penduduk sempena sambutan Gawai serta memberi ruang kepada komuniti menyuarakan pandangan dan keperluan mereka secara langsung.

Lawatan tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turut diiringi oleh rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor termasuk Setiausaha Lau Sie Hing, Bendahari Lee Ngin Soon serta Kapitan Wong Leh Hee.

Dalam ucapan ringkas beliau, Datuk Ding menegaskan komitmen untuk meneruskan lawatan ke rumah-rumah panjang setiap tahun tanpa mengira saiz atau lokasi.

Katanya, selain mempererat hubungan dengan rakyat, ia juga memberi peluang kepada wakil rakyat mendengar sendiri permohonan dan keluhan penduduk secara langsung.

Antara permintaan yang dikemukakan adalah menaik taraf prasarana rumah panjang melalui Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS).

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa menitikberatkan pembangunan asas serta kebajikan rakyat.

Antara inisiatif kerajaan negeri yang telah dan sedang dilaksanakan termasuklah Kad Kenyalang Gold Card, Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), dan Endowment Fund Sarawak (EFS).

Dalam bidang pendidikan pula, beliau menekankan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada pelajar di institusi pengajian tinggi milik negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.

Beliau turut menyeru agar tuai rumah dan penduduk sentiasa berbincang terlebih dahulu dalam komuniti sebelum menghantar surat rasmi permohonan ke Pusat Khidmat DUN bagi memudahkan proses penilaian dan pertimbangan.-EDISI UKAS