SIBU: Seramai 269 pelajar cemerlang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek menerima insentif berjumlah keseluruhan RM97,000 sempena Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sibu, pada Selasa.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Bukit Assek dengan kerjasama SMK Methodist itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek.
Menurut beliau, jumlah penerima insentif tahun ini meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 233 pelajar pada tahun 2023, dengan syarat penerima memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam peperiksaan SPM.
“Daripada keseluruhan penerima, SMK Methodist mencatatkan bilangan tertinggi dengan 128 pelajar menerima insentif berjumlah RM44,600.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap mereka terus berusaha untuk mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan.
Beliau turut menjelaskan bahawa program insentif ini diperkenalkan pada tahun 2022 sebagai inisiatif mengiktiraf pencapaian akademik pelajar dan memberi motivasi untuk terus cemerlang.
“Matlamat program ini mudah tetapi amat bermakna. Ia adalah peringatan bahawa setiap titik peluh mereka dihargai dan diiktiraf.
"Usaha mereka penting dan tidak seharusnya berhenti di sini,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengetua SMK Methodist, Philip Ling Swee Nge menyifatkan pemberian insentif itu sebagai satu pengiktirafan bermakna yang mampu menyuntik semangat kepada pelajar lain.
“Komitmen dalam menyokong agenda pendidikan seperti ini wajar dicontohi dan kami amat menghargainya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian cemerlang sekolah itu yang diumumkan pada 24 April lalu, apabila SMK Methodist merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.60, pencapaian terbaik dengan jumlah calon tertinggi di Bahagian Sibu iaitu seramai 360 orang.
“Lebih membanggakan, seramai 32 calon memperoleh semua A dalam setiap mata pelajaran, manakala 123 calon lagi mencatat keputusan 5A ke atas.
Daripada 19 subjek yang didaftarkan, 11 menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), dan 11 lagi mencatat kadar kelulusan 100 peratus,” jelas beliau.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 orang itu turut disertai oleh Presiden Lembaga Pengurusan SMK Methodist, John Ting; para ibu bapa, guru-guru serta pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS