BINTANGOR: Program Lawatan Pra Gawai Hari Ke-12 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Meradong diteruskan pada petang Selasa dengan kunjungan ke rumah panjang di kawasan Sungai Rayah, Bintangor.
Lawatan tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, bersama rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Dalam ucapannya, Datuk Ding menyatakan rasa gembira kerana berpeluang meneruskan tradisi Lawatan Pra Gawai setiap tahun tanpa mengira saiz rumah panjang yang diziarahi.
Katanya, lawatan sebegini membuka ruang terbaik untuk bertemu secara langsung dengan penduduk, mendengar permasalahan yang dikemukakan oleh Tuai Rumah, serta meninjau sendiri keperluan dan permohonan yang dibangkitkan oleh komuniti.
“Ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu pendekatan mesra rakyat untuk memastikan suara penduduk di kawasan DUN Meradong terus diberi perhatian,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kawasan DUN Meradong bertuah kerana memiliki dua wakil rakyat yang komited terhadap kebajikan rakyat, iaitu dirinya sendiri serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Menurut beliau lagi, pembangunan di kawasan luar bandar seperti Meradong akan terus dipacu selagi Sarawak dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Ding turut memaklumkan bahawa pelbagai insentif telah disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada rakyat yang memiliki status K dalam kad pengenalan, termasuk bantuan kepada ibu melahirkan anak, warga emas, golongan bujang dan berkeluarga, serta pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti.
Beliau menyeru penduduk rumah panjang agar terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha SUPP Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Bintangor, Lee Ngin Soon; dan Kapitan Wong Leh Hee.-EDISI UKAS