KOTA SAMARAHAN: Malam Kebudayaan sempena Festival Budaya dan Makanan Samarahan 2024 (SFCF) yang diadakan di sini meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan Kaum Etnik Bugis.
Peragaan pakaian tradisional Bugis, persembahan muzik dan lagu Kaum Etnik Bugis dipersembahkan oleh Persatuan Budaya Etnik Bugis Iboi Ulu Sadong Jaya.
Turut hadir menyaksikan persembahan itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Malam kebudayaan anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan itu diadakan bertujuan untuk memartabatkan kembali budaya masyarakat setempat dan turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang hadir.
Antara persembahan menarik yang diadakan adalah Tarian Paduppa iaitu tarian selamat datang yang dipersembahkan semasa menyambut tetamu kenamaan di majlis rasmi yang turut diadakan semasa majlis perkahwinan suku etnik Bugis dan Tarian Alosi Ripolo 2 yang membawa maksud 'Pinang Dibelah Dua' berasal dari Suku Bugis di Sulawesi Selatan, Indonesia.
Turut diadakan peragaan pakaian rasmi etnik Bugis bagi acara-acara rasmi, peragaan busana yang dikenali sebagai Labbu yang popular di Wa Jowok Sulawesi Selatan, peragaan Baju Boddo Pink, peragaan Baju Boddo Tradisi Bugis dan Mock Perkahwinan serta persandingan kaum Bugis.
Hadir sama Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pemangku Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Samarahan Gustian Durani, Timbalan Pengerusi Pengelola Samarahan Food And Cultural Festival 2024 4. Kuek Khiok Khuang dan Pengerusi Persatuan Budaya Etnik Bugis Iboi Ulu Sadong Jaya Lariwoo Laba. -EDISI UKAS