Kerajaan Sarawak Komited Perkukuh Bekalan Air Dan Elektrik Di Luar Bandar

Posted on 07 May 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terus komited dalam usaha memperkasakan sistem bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Kalaka dan Krian.

Buktinya, dua projek utama iaitu Projek Pembinaan ‘Acute System’ di Loji Rawatan Air Lichok dan Projek Bekalan Air Daerah Kabong (Pakej 1), yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak telah pun dalam proses perlaksanaannya.

Projek ‘Acute System’ yang memulakan pembinaan pada Februari 2025 kini telah mencapai kemajuan 42 peratus dan mendahului jadual asal sebanyak 10 peratus.

Dengan kos keseluruhan bernilai RM28.8 juta, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025 dengan skop kerja merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 10 Juta Liter Sehari (JLH) serta pemasangan paip HDPE bersaiz 450 milimeter sepanjang 5 kilometer dari Loji Rawatan Air Lichok ke Tangki Air Bukit Lebur.

Projek ini bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 6,700 buah rumah di kawasan DUN Kabong, Kalaka dan Krian.

Bagi Projek Bekalan Air Daerah Kabong (Pakej 1) pula, sebanyak RM107.5 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan 12 projek di kawasan Kabong sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan liputan dan kebolehpercayaan sistem bekalan air di Bahagian Betong.

Susulan itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Loji Rawatan Air Lichok pada Rabu sebagai simbolik pelaksanaan projek.

Lawatan ini bertujuan meninjau sendiri pelaksanaan projek bekalan air di seluruh Sarawak yang merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memastikan akses kepada air terawat dapat dinikmati secara menyeluruh.

Difahamkan, setakat ini, sebanyak 71 peratus kawasan luar bandar di Sarawak telah menerima bekalan air terawat.

Dalam lawatan sama, beliau turut diberi taklimat berkenaan 12 projek bekalan elektrik yang telah siap dan sedang dalam pelaksanaan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) di kawasan Saratok dan Kabong.

Pelaksanaan projek-projek ini telah berjaya mengurangkan gangguan bekalan elektrik dan meningkatkan kualiti sistem elektrik untuk kegunaan penduduk setempat.

Peningkatan ekonomi dan pembangunan pesat di kawasan luar bandar turut menuntut peningkatan kemudahan asas seperti air, elektrik dan telekomunikasi yang lebih menyeluruh dan mampan.

Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir; ADUN Kalaka, Mohamad; ADUN Krian, Friday Belik; Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias; Pengarah JBALB Sarawak, Ir Ts Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan; dan Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee. -EDISI UKAS