SMK Chung Hua (CF) Miri Pacu Inovasi Pelajar Melalui Robotik Bertaraf Antarabangsa

Posted on 07 May 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua (CF) Miri terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam bidang pendidikan sains dan teknologi apabila menganjurkan Pertandingan Robotik Antarabangsa Borneo 2025 bermula 7 hingga 10 Mei di Dewan Besar Hotel Meritz, Miri.

Pertandingan bertaraf antarabangsa itu mendapat sokongan padu Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak serta Sasbadi Learning Solutions, dan berjaya menarik 220 pasukan dari dalam dan luar negara.
Penyertaan melibatkan pelajar berusia 9 tahun hingga dewasa dari Malaysia, China, Chinese Taipei, Macau, Thailand dan Vietnam, merangkumi lima kategori termasuk sekolah rendah, sekolah menengah rendah dan atas, sukan robotik, tenis beregu serta kategori terbuka.

Pengetua SMK Chung Hua (CF) Miri, Lai Jia Ling menyatakan keyakinannya bahawa pihak sekolah mampu mengendalikan pertandingan ini dengan jayanya.

Beliau turut menekankan bahawa pertandingan ini adalah manifestasi komitmen sekolah dalam meneroka potensi pelajar dan melahirkan generasi masa depan yang berdaya cipta serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“SMK Chung Hua (CF) Miri mempunyai bilangan kelas aliran sains tertinggi di Miri. Kami sentiasa menggalakkan pelajar menghasilkan idea-idea inovatif dan penyelesaian kreatif sambil memberi ruang untuk mereka membangunkan bakat masing-masing,” ujarnya.

Tambah beliau, teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian daripada robot penyapu dan kamera keselamatan pintar di rumah, hinggalah aplikasi AI dalam sektor pendidikan dan sukan.

“Melalui penyertaan dalam pertandingan ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pendedahan berharga tentang perkembangan teknologi global, malah lebih bersedia menghadapi masa depan yang dipacu oleh AI dan inovasi robotik,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek memuji inisiatif sekolah tersebut dan menyatakan bahawa pertandingan ini merupakan platform penting untuk pertukaran ilmu, penguasaan teknologi serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited memperkasakan pendidikan sains dan teknologi bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan daya cipta pelajar.

“Penyertaan pelajar Malaysia dalam pertandingan ini juga akan mendapat pengiktirafan melalui mata kokurikulum PAJSK,” katanya.

Pertandingan ini bukan sahaja menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang robotik, malah menjadi bukti bahawa institusi pendidikan tempatan mampu menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang memberi impak besar kepada pembangunan bakat muda.-EDISI UKAS