Datuk Ding Serah Kerusi Roda Kepada Dua Warga Emas Di Maradong

Disiarkan pada 07 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Dalam semangat sambutan Pra Gawai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah mengadakan lawatan prihatin ke dua buah rumah panjang di kawasan Meradong bagi menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada dua warga emas yang mengalami masalah pergerakan.

Sumbangan simbolik itu disampaikan kepada Piau Itam, 78 tahun, dari Rumah Rendu, Skim B Meradong dan Ujoh Ambang, 77 tahun, dari Rumah Maja, Sungai Baron.

Penyerahan dibuat kepada ahli keluarga masing-masing yang menjaga mereka sepenuh masa.

Menurut Datuk Ding, bantuan kerusi roda ini diharapkan dapat membantu memudahkan ahli keluarga mengurus warga emas dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap kedua-dua warga emas sentiasa dalam keadaan sihat.

"Saya juga menyeru agar ahli keluarga terus tabah dan sabar dalam menjaga mereka,” ujar beliau semasa lawatan tersebut.

Beliau turut menyampaikan harapan agar seluruh komuniti sentiasa diberi kesihatan yang baik menjelang sambutan Hari Gawai yang akan tiba tidak lama lagi. -EDISI UKAS