Dua Sekolah Di Dalat Terima Sumbangan RM300,000 Menerusi Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu

Disiarkan pada 07 May 2025
Sumber Berita: UKAS


DALAT: Dua buah sekolah di sini menerima suntikan semangat baharu apabila menerima sumbangan bernilai RM300,000 daripada Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) menerusi Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu: Program Jangkauan Luar MLNG Bestari.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kut Tengah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Poi Yuk merupakan penerima manfaat utama program tahun ini, yang bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.

“Sumbangan ini amat bermakna dalam memperkukuhkan infrastruktur pendidikan di kawasan pedalaman.

“Saya yakin ia akan memberi impak positif terhadap pencapaian pelajar dan semangat guru,” katanya dalam ucapan perasmian pada Selasa.

Sumbangan yang disalurkan merangkumi kerja pengubahsuaian serta penyediaan kelengkapan pendidikan seperti TV pintar, meja, kerusi, sistem siaraya, lampu solar dan peralatan pembelajaran lain.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat MLNG, Mohamed Syazwan Abdullah@Laga Jenggi menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan usaha berterusan MLNG dalam memperkasakan komuniti dan memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.

“Kami percaya dengan menyediakan kemudahan yang lebih baik, ia mampu mencetuskan semangat belajar yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar luar bandar,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Dalat, Magdeline Jon; Guru Besar SK Sungai Kut Tengah, Muhammad Nur Salhan Salam dan Guru Besar SJK(C) Poi Yuk, Ngieng Seng Hung. -EDISI UKAS