Premier Sarawak Teruskan Lawatan Rasmi Luar Negara Ke Abu Dhabi

Posted on 07 May 2025
Source of News: UKAS


ABU DHABI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meneruskan siri lawatan rasmi ke luar negara di Abu Dhabi.

Beliau bersama delegasi Kerajaan Sarawak tiba sekitar jam 9 malam waktu tempatan, pada Selasa.

Mengiringi rombongan Premier Sarawak ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak yang lain.

Pada Rabu, beliau dijadualkan memulakan lawatan rasmi dengan mengadakan kunjungan ke Pelabuhan Khalifa.

Beliau dijangka akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Lawatan akan diteruskan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, pada sebelah petang.

Pada sebelah malam, Premier Sarawak akan menghadiri majlis makan malam di Benjarong Dusit Thani.

Terdahulu siri lawatan rasmi Datuk Patinggi Abang Zohari ke luar negara bermula di London selama empat hari.

Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Toulouse di Perancis.

Lawatan rasmi pada kali ini menyaksikan beliau berkongsi beberapa inisiatif Kerajaan Sarawak, membentuk serta memperkasakan kerjasama dan hubungan dua hala di peringkat global.

Datuk Patinggi Abang Zohari dijangka kembali ke Sarawak pada Khamis ini. -EDISI UKAS