PADAWAN: Daerah Padawan bakal muncul sebagai destinasi pelancongan unggul di Sarawak melalui pelaksanaan projek pemetaan produk pelancongan geopark yang berteraskan warisan budaya Bidayuh dan khazanah alam tropika.
Projek strategik ini diterajui oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil, yang mempengerusikan Mesyuarat “Focus Group Geopark Trails Mapping of Tourism Product in Padawan” pada Selasa.
Mesyuarat tersebut berlangsung di Pejabat Daerah Kecil Padawan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), pemimpin komuniti serta penggiat pelancongan tempatan.
Melalui inisiatif Ranee Atlas yang diterajui pasukan penyelidik UiTM, projek ini menyasarkan pembangunan laluan pelancongan bersepadu meliputi lebih 48 air terjun, 50 gua, serta kampung-kampung Bidayuh bertema – lengkap dengan naratif sejarah, budaya dan kehidupan komuniti tempatan.
Menurut Datuk Dr. Jerip, antara tarikan utama termasuk Air Terjun Penghuntan, gua prasejarah, serta ekosistem hutan hujan tropika dengan kekuatan sebenar produk pelancongan ini adalah komuniti Dayak Bidayuh itu sendiri.
“Budaya mereka, muzik, kraf tangan, makanan serta kisah ketahanan mereka adalah nadi kepada pelancongan ini.
"Tema ‘The Bidayuh Survived’ akan menjadi asas kepada pembangunan pelancongan Padawan – memperkukuh jati diri, memelihara warisan, dan mencipta peluang baharu,” katanya penuh semangat.
Kampung Annah Rais telah dikenalpasti sebagai pusat pameran budaya Bidayuh.
Sementara itu, kampung-kampung lain seperti Kampung Sikog, Kampung Bunuk dan beberapa lagi akan dimajukan dengan identiti pelancongan tersendiri, disokong oleh pembinaan infrastruktur digital, amphitheatre, serta program pelancongan lasak seperti Padawan Raft Safari di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Projek ini bukan sahaja dijangka merancakkan ekonomi luar bandar, malah akan memperkenalkan Padawan sebagai destinasi pelancongan lestari yang kaya dengan nilai budaya dan alam semula jadi.
“Tanpa rakyat, lokasi hanya tinggal ruang kosong. Namun dengan rakyat, ia menjadi hidup, bermakna dan penuh cerita untuk dikongsikan kepada dunia,” ujar beliau. -EDISI UKAS