Dr. Simon Sinang Sumbang RM316,090 Bantu 26 Sekolah di Tebedu

Posted on 06 May 2025
Source of News: UKAS


TEBEDU: Sebanyak 26 buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima suntikan dana berjumlah RM316,090 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN N.21 Tebedu pada Selasa.

Sumbangan berkenaan disalurkan melalui Majlis Penyampaian Cek Projek Khas Fasa 1/2025 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi tiga buah sekolah menengah dan 23 buah sekolah rendah.

Menurut Dr. Simon, dana tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan program-program pendidikan dan aktiviti sekolah, terutamanya dalam usaha memperbaiki keputusan pelajar dan prestasi keseluruhan sekolah.

“Saya telah memperuntukkan sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan RM2 juta setahun peruntukan khas Pusat Khidmat bagi menyokong agenda pendidikan negara,” ujarnya ketika menyampaikan amanat.

Tambah beliau, pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah masa depan seseorang serta meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat.

“Maju mundur seseorang dan institusi keluarga amat bergantung kepada pencapaian pendidikan anak-anak,” tegasnya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar setiap penggunaan dana oleh PIBG dan kelab didokumentasikan dengan teliti bagi tujuan semakan atau audit pada masa akan datang.

Turut menerima sumbangan ialah sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). -EDISI UKAS