Sarawak Aerobig Day 2025 Jelajah Empat Bahagian, Sasar 3,500 Peserta

Posted on 06 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak Aerobig Day 2025 bakal berlangsung dalam skala lebih besar dengan jelajah empat bahagian utama negeri ini iaitu Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching dalam usaha memupuk budaya hidup sihat rakyat Sarawak.

Bertemakan Jom Amal, Jom Aerobik, acara ini akan berlangsung selama empat minggu berturut-turut bermula 28 September di Stadium Miri, diikuti Bintulu (5 Oktober), Sibu (12 Oktober), dan kemuncaknya di Kuching pada 19 Oktober.

Pengerusi Penganjur, Ryan Jee berkata penganjuran jelajah keempat-empat bahagian ini dijangka menarik penyertaan seramai 3,500 peserta dari seluruh negeri dengan peningkatan ketara berbanding 2,800 peserta pada tahun lalu.

“Inspirasi kami lahir daripada Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050.

"Kami mahu rakyat Sarawak terus sihat dan aktif,” katanya dalam sidang media di Kuching pada Selasa.

Jelajah ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Belia dan Sukan Sarawak selaku penganjur bersama serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau mencadangkan agar siri Kuching dianjurkan bersempena Hari Sukan Negara yang jatuh pada minggu sama, iaitu 18 Oktober, bagi memberi laluan kepada sambutan rasmi Hari Jadi TYT pada 12 Oktober.

Pendaftaran telah dibuka mulai hari ini hingga 31 Ogos 2025 dengan yuran serendah RM10 bagi kanak-kanak, dan RM35 hingga RM50 untuk dewasa mengikut kategori.-EDISI UKAS