SIMANGGANG: Seramai 10 orang Ketua Kaum dari Daerah Sri Aman telah menerima watikah pelantikan bagi tahun 2025 dalam satu majlis rasmi yang berlangsung meriah dan penuh penghargaan pada Isnin.
Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor
Dalam ucapannya, Dayang Noorazah berkata, penyambungan perkhidmatan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan penting para Ketua Kaum dalam memimpin serta membangunkan komuniti masing-masing.
Justeru katanya, mereka diseru untuk terus komited menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan masyarakat.
“Syabas dan tahniah kepada semua Ketua Kaum yang dilantik. Saya berharap agar mereka dapat terus memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, serta menjaga keharmonian dan perpaduan masyarakat,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Sandin Ajah; serta para pemimpin masyarakat seperti Ayahanda Temenggong Mohamad Shah Achang, Ayahanda Pemanca Abang Norin Abang Norudin dan Ayahanda Penghulu Rosli Ana. -EDISI UKAS