Lawatan Kerja RDA Sarawak Diteruskan di Miri

Posted on 06 May 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Siri lawatan kerja ke sembilan Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di Sarawak diteruskan pada Selasa dengan kunjungan ke Pejabat Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Miri.

Ia merupakan destinasi kedua selepas Lawas dan dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei 2025.

Lawatan rasmi ini diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Ia bertujuan meninjau pelaksanaan projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di bawah RDA selain memantapkan hubungan kerja antara kementerian, agensi pelaksana dan pemantau di lapangan.

Dalam sesi taklimat yang dihadiri oleh 24 orang peserta termasuk wakil agensi teknikal dan pentadbiran daerah, beliau menegaskan pentingnya penyelarasan berkesan antara semua pihak bagi memastikan projek berjalan lancar dan menepati jadual.

Menurut beliau, sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan dan dipengerusikan olehnya sendiri untuk menyelaras isu pelaksanaan serta mempercepatkan tindakan susulan.

Jawatankuasa ini bakal melibatkan semua RDA serta agensi pusat seperti EPU, SIMU dan kementerian berkaitan.

Antara yang hadir dalam sesi tersebut ialah Pengarah Wilayah HAD, Juan Ubit, Pengarah SIMU, Sapiah Daud, wakil Pengarah EPU, Florida Gala James Mijien serta wakil dari Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Bahagian Miri (Telang Usan, Marudi dan Beluru).-EDISI UKAS