Pemergian Allahyarham Morshili Bakar Kehilangan Besar Buat PBB Meradong

Posted on 05 May 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Pemergian mantan Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Meradong, Morsili Bakar disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada parti, khususnya di peringkat cawangan Meradong.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang penglibatan beliau dalam parti telah banyak membantu mengukuhkan kedudukan PBB di kawasan tersebut.

“Pemergian Allahyarham benar-benar menyentuh hati saya kerana beliau begitu lama bersama-sama Parti PBB Cawangan Meradong.

"Ia merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti, malah kepada seluruh warga Meradong yang mengenali beliau,” ujar Datuk Abdullah ketika ditemui semasa mengunjungi keluarga Allahyarham di kediaman Rumah Helmi, Taman Bintang, Bintangor pada Isnin.

Allahyarham Morsili, yang meninggal dunia 4 Mei lalu, pada usia 79 tahun dikenang sebagai seorang pemimpin berdedikasi yang banyak menyumbang kepada pembangunan parti dan komuniti setempat.

Lawatan takziah tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan N.46 Meradong yang juga anak kepada Allahyarham, Helmi Morsili, Pemanca Rapen Anga, serta Penghulu Hashim Abang Solhi.

Dalam lawatan itu juga, Datuk Abdullah turut menyatakan rasa simpati dan keprihatinan kepada keluarga Allahyarham yang sedang menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.

Selain menyampaikan ucapan takziah, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Pemanca Rapen dan Penghulu Hashim mengenai cadangan pemberian insentif kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024.

Mengakhiri kunjungan, Datuk Abdullah menyeru agar keluarga Allahyarham terus berdoa, tabah dan sabar dalam menghadapi kehilangan yang turut dirasai oleh seluruh warga PBB Meradong.-EDISI UKAS