TOULOUSE: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat ATR yang merupakan pengeluar pesawat turboprop terkemuka dunia di Perancis pada Isnin waktu tempatan.
Beliau bersama delegasi kemudian menghadiri perbincangan jaringan profesional di Airspace Customer Showroom – Agoahub yang dihoskan oleh Presiden Airbus International, Wouter van Wersch.
Lawatan kerja rasmi Premier Sarawak diteruskan dengan sesi lawatan menyeluruh ke ruang pameran pelanggan Airbus, sebelum delegasi bergerak ke kilang pemasangan akhir pesawat A350 dengan delegasi diberi peluang menyaksikan sendiri proses pemasangan akhir bagi salah satu pesawat komersial paling canggih di dunia.
Mengiringi rombongan Premier Sarawak ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS