KUCHING: Usaha memperjelas dasar kerajaan kepada masyarakat umum terus diperkasa menerusi penganjuran Media Coffee Chat 2025 oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, kali ini dengan tema ‘Jargon Made Simpler’.
Program berimpak tinggi itu bertujuan memudahkan pengamal media memahami dan menyampaikan istilah serta konsep pembangunan yang sering kali dibentangkan dalam istilah teknikal, agar lebih mudah difahami oleh rakyat.
Lima penceramah jemputan telah berkongsi pandangan serta pengetahuan dalam bidang masing-masing, merangkumi pelbagai sektor pembangunan strategik.
Antara topik yang dibentangkan termasuk 'Mendigitalisasi Tenaga Sarawak' oleh Pengurus Kanan (Kecemerlangan Koperasi) Sarawak Energy Berhad (SEB), Lee Yau Kei; 'Syarat Undang-Undang dan Jargon' oleh wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Mardiana Han; 'Tenaga Baharu (Hidrogen, Alga) dan Perniagaan Hiliran Minyak & Gas' oleh Ketua Pejabat Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy, Dennis Harun Wong; serta 'Memahami Berita dalam Media Sosial' oleh pemilik akaun Sarawak Edition, Pak Aji.
Sesi perkongsian tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, yang turut menyampaikan taklimat khas bertajuk 'Pengenalan kepada Inisiatif Premier Sarawak dan Jargon yang Selalu Digunakan'.
Inisiatif ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara media dan agensi pembangunan, sambil memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat diakses dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.
Sebagai penghargaan kepada para peserta dan pengamal media yang hadir, AZAM Sarawak juga menganjurkan 'Media Engagement Night 2025' pada sebelah malamnya, bertempat di atas Royale Cruise Kuching.
Acara santai itu menghimpunkan pengamal media dan wakil agensi dalam suasana lebih mesra, sekali gus merapatkan lagi jalinan kerjasama profesional.
Hadir sama memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik AZAM 2024-2026 Profesor Madya Dr Margaret Chan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik AZAM 2024-2026 Alice Wee, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Ali Suhaili, Ahli Lembaga Pengarah AZAM Angeline Lim Chiaw Ying dan Ahli AZAM Ahadiah Zamhari.-EDISI UKAS