Pemimpin Muda Digesa Jadi Pemacu Perubahan

Posted on 05 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Lebih 250 pemimpin muda dari seluruh Sarawak berkumpul di Dewan Sentral Sarikei sempena Majlis Penutupan Konvensyen Junior Chamber International (JCI) Area Sarawak 2025, yang menandakan penutup kepada siri program berimpak tinggi yang menekankan kepimpinan, inovasi dan pembangunan mampan.

Majlis penutupan yang berlangsung meriah itu disempurnakan oleh Wong Zee Yeng bagi mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Wong, Dato’ Sri Huang merakamkan penghargaan kepada JCI Sarikei atas penganjuran yang cemerlang serta usaha menjadikan konvensyen ini satu pengalaman bermakna buat para peserta.

“Konvensyen ini bukan sekadar program, tetapi satu perjalanan yang menginspirasi dan mencabar anda untuk tampil sebagai ejen perubahan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan muda bukan hanya tonggak masa depan, tetapi kekuatan masa kini dalam membentuk arah pembangunan komuniti.

Memetik kata-kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, beliau mengingatkan bahawa golongan muda tidak harus menunggu peluang tetapi menciptanya.

“Anak muda adalah aset terpenting negeri ini dalam mencapai Sarawak yang makmur dan progresif,” jelas beliau.

Konvensyen ini telah mempertemukan para peserta dalam sesi-sesi perbincangan mendalam melibatkan topik seperti kepimpinan, kelestarian, pemerkasaan serta pembangunan komuniti, selain memberi ruang membina rangkaian dan kerjasama merentas daerah.

Mengakhiri ucapan, beliau menggesa para peserta agar momentum yang dibina dalam konvensyen ini diteruskan dalam kehidupan seharian dan projek komuniti masing-masing.

“Konvensyen ini mungkin telah berakhir, namun kerja sebenar bermula sekarang. Jadikan idea satu tindakan, dan hubungan yang terjalin sebagai platform kolaborasi masa depan,” ujarnya.

Dengan kehadiran peserta dari Kuching, Sibu, Miri, Bintulu dan pelbagai pelusuk Sarawak, konvensyen ini bukan sahaja memupuk semangat kepimpinan, malah mengangkat Sarikei sebagai lokasi penting dalam usaha membina generasi pelapis yang dinamik dan bertanggungjawab.-EDISI UKAS