Jawatankuasa Khas RDA Ditubuh, Fokus Pantau Prestasi & Tangani Cabaran Pembangunan Wilayah

Disiarkan pada 05 May 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau secara menyeluruh pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di Sarawak, sebagai langkah memperkukuh tadbir urus serta menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh setiap agensi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan keahliannya terdiri daripada semua RDA serta agensi pusat berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU), Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri Sarawak (SIMU), kementerian dan jabatan teknikal yang berkaitan.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah sebahagian daripada usaha memperkemas penyelarasan dan pelaporan pelaksanaan projek agar lebih sistematik dan responsif terhadap cabaran di lapangan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa mesyuarat yang diadakan di Majlis Daerah Lawas pada Isnin, bersempena rangka lawatan kerja dan sesi taklimat ke sembilan Pejabat Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di seluruh Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 16 Mei 2025.

Lawatan ini bertujuan menjalinkan hubungan lebih erat antara beliau selaku penyelaras projek dengan pegawai serta kakitangan RDA, di samping menilai prestasi pelaksanaan projek dan mengenal pasti sebarang kekangan yang wujud.

Dalam taklimat tersebut, Datuk Dr Abdul Rahman turut menekankan pentingnya peranan RDA dalam mempercepatkan pembangunan di wilayah masing-masing melalui kelulusan projek tanpa perlu melalui agensi pusat.

Setiap RDA merancang cadangan projek mereka dan kelulusan diberi oleh Jawatankuasa Pemandu masing-masing, manakala pelaksanaan dijalankan oleh agensi teknikal seperti JKR, DID, DOA, JBALB, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun serta pejabat residen dan daerah.

Beliau turut mengingatkan semua RDA dan pemilik aset agar merancang lebih awal aspek bajet dan tenaga kerja untuk tujuan operasi dan penyelenggaraan, supaya projek yang siap kelak tidak terbiar atau tidak dapat digunakan secara optimum.

Selain itu, beliau memberi amaran tegas kepada semua kontraktor yang telah menerima surat lantikan (Letter of Appointment - LOA) supaya memulakan kerja-kerja lapangan dalam tempoh 30 hari dari tarikh LOA dikeluarkan.

Katanya, agensi pelaksana perlu memainkan peranan memastikan arahan ini dipatuhi tanpa kompromi.

“Kerjasama padu antara semua pihak, termasuk RDA, agensi pelaksana dan pemantau, amat penting bagi memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi impak positif kepada rakyat,” tambah beliau.

Langkah penubuhan Jawatankuasa Khas ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada sistem penyampaian yang lebih cekap dan berkesan, seiring aspirasi kerajaan Sarawak untuk membawa pembangunan seimbang di semua wilayah luar bandar dan bandar.

Hadir sama Pengarah Wilayah, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latif; Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Sapiah Daud; serta tetamu-tetamu kehormat yang lain. – EDISI UKAS