Kempen Derma Darah di PPD Meradong Tarik Sokongan Penjawat Awam

Disiarkan pada 05 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Program Kempen Menderma Darah Tahun 2025 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong yang berlangsung di Dewan PPD Meradong pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga pendidik dan penjawat awam setempat.

Program anjuran Persatuan Sektor Psikologi dan Kaunseling serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Dalam ucapannya, Datuk Ding menyeru para penjawat awam agar terus tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah negara berada pada tahap yang mencukupi.

Beliau menekankan bahawa bekalan darah amat penting untuk menampung keperluan transfusi pesakit di hospital, khususnya bagi prosedur perubatan yang memerlukan sokongan darah berterusan.

“Inilah peluang terbaik untuk bersedekah kerana menderma darah amat bermakna kepada mereka yang memerlukannya,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga PPD dan pendidik Daerah Meradong yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Jelas beliau, program seumpama ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam.

Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Sektor Psikologi dan Kaunseling, AKRAB Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan PPD Meradong.

Ia bertujuan menyokong sistem kesihatan awam negara dengan mengekalkan bekalan darah pada tahap stabil serta mencukupi.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad dan Pengerusi Persatuan AKRAB, Josue Ting Sia Hing.-EDISI UKAS