Sambutan PPWS Platform Perkasa Peranan Wanita Dalam Pembangunan Negeri

Disiarkan pada 05 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sambutan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) tahun ini membawa tema PPWS: Wadah Wanita, Tonggak Kelestarian menjadi platform memperkasa wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negeri, sejajar dengan hasrat dan cita-cita negara.

Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhayati Mohd Ismail berkata, PPWS akan menerapkan prinsip kelestarian dalam setiap program yang dianjurkan, merangkumi bidang ekonomi, alam sekitar, sosial, latihan dan kepimpinan.

“Dengan menerapkan prinsip kelestarian, PPWS bukan sahaja dapat memastikan kewujudannya dalam jangka panjang, tetapi juga mampu memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan seimbang,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari PPWS pada Ahad.

Beliau turut menekankan bahawa wanita bukan sekadar tulang belakang keluarga, tetapi juga pemacu kemajuan negara dalam bidang ekonomi, pendidikan, teknologi dan kepimpinan.

Ujarnya, kejayaan yang telah dicapai oleh wanita membuktikan bahawa wanita mampu berdiri setanding dengan sesiapa sahaja.

"Oleh itu, penting untuk wanita terus diberi peluang menimba ilmu dan membina kekuatan diri agar bersedia menghadapi cabaran dunia moden,” jelas beliau.

Dato Norhayati menambah bahawa kesihatan dan kesejahteraan wanita perlu sentiasa diberi perhatian kerana ia menjadi asas kepada kehidupan yang sejahtera dengan menekankan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, serta sokongan emosi sesama wanita agar kekal kuat dan berdaya tahan. -EDISI UKAS