KUCHING: Amazon Web Services (AWS), syarikat Amazon.com Inc yang mengumumkan pelaburan jangka panjang sebanyak RM29.2 bilion di Malaysia sehingga 2038 bakal dapat mempercepatkan transformasi digital di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menyeru agar sebahagian daripada pelaburan AWS turut disalurkan ke Sarawak, selari dengan usaha negeri itu untuk mempercepatkan transformasi digital menjelang 2030.
Jelasnya, Sarawak yang hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia, juga wajar diberikan keutamaan dalam pengagihan pelaburan tersebut.
"Kami ingin memastikan transformasi digital kami benar-benar aktif dan jika kami dapat mempercepatkan transformasi digital, terutamanya di seluruh Sarawak di kawasan luar bandar, saya rasa itu sudah cukup baik untuk kami mencapai sasaran menjelang tahun 2030 dan saya percaya AWS boleh memainkan peranan di sini.
"Jadi, tolonglah, dengan bajet anda sebanyak USD6.2 bilion, jangan lupakan Sarawak. Peruntukkan sebahagiannya kepada Sarawak pada masa hadapan atau sekarang, memandangkan ia adalah sebahagian daripada bajet anda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sarawak Public Sector Innovation Forum & Malaysia Media Briefing di sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.
Dato Sri Julaihi turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa Sarawak merupakan sebuah negeri yang stabil dari segi politik dan ekonomi.
Ujarnya, keyakinan dan kepercayaan terhadap keupayaan Sarawak amat penting dalam menarik pelaburan strategik seperti yang ditawarkan oleh AWS.
"Jangan risau, Sarawak sangat stabil. Sarawak sangat stabil dan kami menunaikan apa yang kami janjikan.
"Jadi, jika anda terbaca beberapa berita yang tidak yakin dengan kami, itu mungkin hanyalah spekulasi di atas kertas.
"Saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan dapat mencapai apa yang telah kami rancangkan dan apa yang sedang kami rancang untuk dicapai dalam masa terdekat. Malah, kami telah membuktikannya," jelasnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Dato Syeed Mohd Hussein; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), Busiai Seman; Pengarah Urusan Kanan Asia Pasifik AWS, Eric Conrad dan Pengurus Negara Sektor Awam Malaysia AWS, Hafiz Hassan. -EDISI UKAS