Kerajaan Negeri dan Persekutuan Terus Berunding – Dato Sri Fadillah Yusuf

Posted on 05 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf menegaskan bahawa rundingan antara kerajaan Sarawak dan Persekutuan, termasuk berhubung isu berkaitan Petronas dan Petros, sedang berjalan secara berterusan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Mengulas kenyataan Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, yang mencadangkan agar Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri duduk semeja dalam isu tuntutan antara dua kerajaan, Dato Sri Fadillah menegaskan bahawa perbincangan teknikal telah dan sedang berlaku melalui pelbagai saluran rasmi.

“Sebenarnya semua rundingan ini melibatkan pelbagai pihak, termasuk saya sendiri selaku pengerusi jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh wakil kerajaan negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) Borneo 2025 di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, terdapat isu yang memerlukan penyelesaian melalui mahkamah, namun pendekatan semasa adalah untuk mencari jalan penyelesaian yang bersifat menang-menang.

“Perundingan ini tidak hanya di peringkat Perdana Menteri dan Premier Sarawak, malah turut melibatkan Peguam Besar Negeri Sarawak, pihak Persekutuan, serta syarikat berkaitan seperti Petronas dan Petros,” tambah beliau.

Dato Sri Fadillah turut menekankan bahawa rundingan tersebut dijalankan dalam kerangka Perlembagaan dan peraturan perundangan sedia ada, dan menjelaskan bahawa selain isu berkaitan minyak dan gas, banyak perkara lain turut dibincangkan serta sedang diselesaikan secara berperingkat.-EDISI UKAS