TYT Sarawak dan Isteri Zahir Penghormatan Terakhir kepada Mendiang James Ritchie

Disiarkan pada 05 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini menzahirkan penghormatan terakhir kepada wartawan veteran, mendiang James Ritchie di Gereja St. Thomas, Kuching.

Ketibaan Tun Pehin Sri dan isteri sekitar jam 10:05 pagi disambut oleh balu serta anak mendiang, dalam suasana penuh sayu namun sarat dengan penghargaan terhadap jasa besar yang telah ditaburkan oleh mendiang sepanjang hayatnya.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan meluangkan kira-kira 20 minit menziarahi mendiang, sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan beliau yang begitu signifikan dalam dunia kewartawanan dan usaha pendokumentasian sejarah negeri ini.

Mendiang James Ritchie bukan sahaja dikenali sebagai wartawan yang berdedikasi, malah turut diiktiraf sebagai sejarawan tidak rasmi Sarawak, yang tekun merakamkan naratif rakyat, budaya, dan pembangunan negeri sejak berdekad lalu.

Mengulas mengenai pemergian mendiang, Tun Pehin Sri menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak, khususnya dalam lapangan media dan sejarah.

“Pagi ini sepatutnya menjadi detik pertemuan kami untuk membincangkan sebuah naskhah yang sedang diusahakan bersama. Namun, ketentuan Ilahi mendahului segala perancangan manusia. 

“Apa yang dijangka sebagai permulaan sebuah karya, kini menjadi lembaran penutup sebuah kehidupan,” katanya penuh sebak.

Tun Pehin Sri turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang sahabat yang disifatkannya sebagai berjiwa besar, tekun, dan sentiasa komited dalam merakamkan peristiwa penting demi tatapan generasi akan datang.

Beliau dan Toh Puan turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang, serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik kehilangan ini.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak, Sabtu lalu pada usia 74 tahun.

Jenazahnya akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Bau, esok. – EDISI UKAS