KUCHING: Kuching berpotensi besar menjadi pusat diplomasi undang-undang dan hab penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di rantau Borneo, sejajar dengan perubahan geopolitik dan pertumbuhan pesat di kawasan Nusantara.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf menekankan keperluan membangunkan ekosistem ADR yang mantap, inklusif dan diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menangani cabaran pelaburan dan urusan komersial serantau yang semakin kompleks.
“Kuching sedang muncul bukan hanya sebagai ibu negeri, tetapi sebagai pusat pemikiran undang-undang, pertukaran profesional dan perusahaan wilayah.
“Ia mampu menjadi teras kepada diplomasi undang-undang Borneo,” katanya berucap merasmikan Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif Borneo (Borneo ADR Week) 2025 di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kedudukan strategik Borneo kini semakin terserlah dengan pembangunan Nusantara di Indonesia, peranan aktif Brunei serta pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak, menjadikannya titik tumpu baharu dalam ASEAN.
Dato Sri Fadillah turut mengiktiraf Borneo ADR Week sebagai platform penting, yang pertama seumpamanya di Malaysia, kerana menghimpunkan pelbagai firma, institusi dan badan profesional dalam satu usaha kolektif untuk memperkukuh peranan ADR dalam menyelesaikan pertikaian secara efektif.
“ADR bukan sahaja satu mekanisme undang-undang, tetapi juga sebahagian daripada infrastruktur ekonomi yang meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong pembangunan yang mampan,” jelasnya.
Malaysia, katanya, terus komited terhadap kerangka global seperti Konvensyen New York dan Konvensyen Singapura yang menjamin pengiktirafan dan penguatkuasaan keputusan ADR merentas sempadan.
“Membangunkan ekosistem ADR memerlukan pendekatan rentas sektor dan rentas negara. Kita mesti mencipta jaringan yang dipercayai, responsif terhadap ESG dan selari dengan perkembangan teknologi semasa,” tegasnya.
Sehubungan itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menyeru kepada kerjasama erat antara kerajaan, institusi, sektor korporat dan akademia dalam membina sistem ADR yang lebih mampan serta mencerminkan budaya dan nilai tempatan Borneo.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyifatkan ADR Week 2025 bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu manifestasi komitmen kolektif ke arah masa depan yang lebih adil, progresif dan diiktiraf di peringkat global.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal-Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chew Yew; Penasihat Undang-Undang negeri Sarawak, Dato Sri JC Fong serta tetamu kenamaan yang lain.- EDISI UKAS