SOPMA Baton Run 2025 Pacu Kesedaran dan Semangat Inklusiviti Golongan Pekak

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Lebih 300 peserta termasuk dari luar negara menyertai SOPMA Baton Run 2025 yang berlangsung di Marina Park, Majlis Bandaraya Miri pada Ahad.

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak sebagai kesinambungan promosi kepada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang dijadual berlangsung di Sarawak tahun ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Jeffrey Phang yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.

Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Jeffrey, Dato Sri Lee menegaskan bahawa SOPMA Baton Run bukan sekadar acara riadah, malah menjadi simbol perjuangan, inspirasi dan penyatuan komuniti pekak serta masyarakat umum.

“Acara ini bukan sahaja menyemai budaya hidup sihat, malah menjadi pemangkin semangat kepada warga pekak di negeri ini, khususnya di Miri untuk tampil lebih yakin dan bangga dengan kebolehan mereka,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap ketabahan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terus bersaing dalam pelbagai kejohanan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Dalam konteks ini, beliau memuji peranan penting badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak yang bukan sahaja memperjuangkan kebajikan komuniti, malah menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.

“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang berpegang pada prinsip Keterangkuman Sosial, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan tiada kelompok masyarakat yang dipinggirkan,” katanya sambil menegaskan perlunya kolaborasi erat antara kerajaan dan NGO dalam memperkasakan komuniti setempat.

Sebagai tanda sokongan, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak bagi melancarkan lagi penganjuran program serta membantu persediaan atlet ke SOPMA akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Victor Hii berkata, acara ini turut berfungsi sebagai platform mengumpul dana bagi latihan atlet pekak Sarawak di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penganjuran SOPMA dan potensi komuniti pekak.

SOPMA Baton Run 2025 menjadi bukti nyata bahawa acara sukan boleh menjadi pemacu perubahan sosial dan pengukuh jalinan solidariti dalam masyarakat berbilang latar belakang.

Turut hadir, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS