Samarahan Juara Keseluruhan Kejohanan Tenpin Boling Antara Bahagian MAKSAK Sarawak 2025

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Bahagian Samarahan muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Tenpin Boling Antara Bahagian anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Sarawak 2025 yang melabuhkan tirainya petang semalam di Megalanes East Miri, Bintang Megamall pada Ahad.

Kejohanan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei itu menyaksikan penyertaan 100 peserta mewakili 12 bahagian seluruh Sarawak.

Pelbagai kategori dipertandingkan antaranya Individu Lelaki dan Wanita, Beregu Lelaki dan Wanita serta Kategori Berpasukan Campuran.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.

Dalam ucapannya, Adam Yii menzahirkan penghargaan kepada MAKSAK atas penganjuran kejohanan yang berjaya memupuk semangat kesukanan dalam kalangan penjawat awam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para peserta yang menunjukkan komitmen tinggi dan semangat persaingan sihat sepanjang kejohanan.

“Platform seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah memperkukuh hubungan antara penjawat awam dari seluruh pelusuk Sarawak,” katanya.

Bahagian Miri menamatkan kejohanan di tempat kedua manakala Bahagian Kuching di tempat ketiga.

Kejohanan ini juga berperanan sebagai medan pemilihan atlet yang akan mewakili Sarawak ke Kejohanan Tenpin Boling MAKSAK Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 7 Julai 2025 di Sunway Megalanes, Shah Alam.

Seramai enam lelaki dan enam wanita terbaik kejohanan ini telah dipilih untuk membawa cabaran negeri di peringkat kebangsaan.-EDISI UKAS