Pesta Pantai Batu Mandi 2025 Angkat Warisan Budaya Dan Potensi Pelancongan Desa

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pesta Pantai Kampung Nelayan Batu Mandi yang melabuhkan tirainya pada Sabtu bukan sekadar pesta hiburan, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan desa dan pemerkasaan identiti budaya tempatan.

Acara dua hari anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nelayan Batu Mandi dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Adventure Borneo itu berlangsung meriah di pesisir Pantai Batu Mandi, Similajau dengan pengisian pelbagai acara sukan rakyat dan persembahan seni tradisional yang menggalakkan penyertaan aktif masyarakat setempat.

Majlis penutupan dan perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi bersama isteri, Datin Evelyn Ensanggai.

Dalam ucapannya, Dato Majang menegaskan bahawa seni budaya dan sukan tradisi mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancongan luar bandar, sekali gus menjana manfaat ekonomi untuk penduduk setempat.

“Seni kebudayaan dan sukan tradisi mampu menjadi magnet pelancongan sama ada dari dalam atau luar negara.
“Mereka akan berbelanja dan memberi manfaat kepada industri pelancongan seperti hotel, restoran, logistik dan kraftangan,” jelas beliau.

Dato Majang turut mengumumkan dua insentif penting kepada komuniti Batu Mandi dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur dan memperkasa pembangunan setempat.

Pertama, beliau mengumumkan pelaksanaan projek penaiktarafan jalan-jalan kampung di kawasan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM400,000 menerusi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pemberian geran sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nelayan Batu Mandi bagi menyokong pelaksanaan program-program pembangunan komuniti yang lebih lestari dan inklusif.

Sementara itu, Pengerusi penganjur, Mohd Ariffin Abdullah menyuarakan hasrat untuk menjadikan pesta ini sebagai acara tahunan dengan sokongan pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu.

Kehadiran penduduk dari sekitar Bintulu serta pelancong domestik membuktikan sambutan yang amat memberangsangkan terhadap pesta ini yang bukan sahaja meriah tetapi juga sarat nilai kebudayaan.

Pesta Pantai Batu Mandi 2025 sekali lagi membuktikan bahawa pelancongan komuniti berteraskan warisan budaya mampu membawa perubahan signifikan kepada ekonomi dan landskap sosial luar bandar, seiring aspirasi pembangunan mampan kerajaan negeri.-EDISI UKAS