Sepak Takraw Piala Iskandar Turkee 2025: 27 Pasukan Berentap, Bakat Muda Diketengah

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Kejohanan Sepak Takraw Piala Iskandar Turkee pada Ahad menyaksikan persaingan sengit melibatkan 27 pasukan dari sekitar Bintulu, sekali gus membuktikan minat dan semangat tinggi masyarakat terhadap sukan tradisional tersebut.

Pertandingan anjuran Dewan Sepak Takraw Kampong Warisan bersama komuniti setempat itu diadakan di Dewan Sepak Takraw Kampong Warisan, Jepak dan bertujuan mencungkil bakat baharu bagi mewakili Bintulu ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak yang akan datang.

Pasukan Mypham Red dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan Azam dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan.

Tempat ketiga bersama pula disandang oleh Galaxy A dan Galaxy B.

Bagi kategori Sepak Raga Bulatan, pasukan Galaxy muncul juara, diikuti Myphamm di tempat kedua dan Bazooka di tempat ketiga.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sukan seperti sepak takraw bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi juga platform penting untuk mencungkil bakat dan memupuk perpaduan dalam kalangan belia.

“Pertandingan seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga membuka peluang kepada pemain muda untuk diketengahkan ke peringkat negeri,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong program pembangunan sukan di peringkat akar umbi, khususnya dalam memartabatkan sukan warisan seperti sepak takraw.

Kejohanan ini katanya bukan sahaja menjadi medan pertarungan bakat, malah turut berjaya menarik perhatian dan sokongan padu daripada masyarakat setempat yang hadir memenuhi dewan sepanjang acara berlangsung.

Kejayaan penganjuran ini membuktikan bahawa sukan masih relevan sebagai platform penyatuan dan pembangunan komuniti.-EDISI UKAS