Edisi Sulung Dato Majang Renggi Cup Tarik 39 Pasukan

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Sukan bukan hanya medan pertandingan, tetapi cerminan kepimpinan, disiplin dan kesatuan masyarakat, itulah mesej utama yang diketengahkan dalam Kejohanan Badminton YB Dato Majang Renggi Cup First Edition 2025 yang berlangsung meriah di Tong Yen Badminton Court, Samalaju pada Ahad.

Kejohanan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Samalaju itu telah menarik penyertaan 39 pasukan merangkumi Regu Campuran, Regu Veteran dan Regu Lelaki dalam satu suasana penuh semangat kesukanan dan kekitaan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan & Infrastruktur Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi, yang turut menzahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran kejohanan sukan sebagai wadah menyatukan komuniti.

“Sukan adalah bahasa sejagat yang menyatukan tanpa mengira latar belakang. Ia mengajar kita tentang kepimpinan, disiplin, dan kerjasama, nilai yang amat penting dalam kehidupan berorganisasi dan bermasyarakat,” ujar beliau dalam ucapannya.

Dato Majang turut menekankan bahawa aktiviti sukan mampu membentuk masyarakat yang sihat, aktif dan berfikiran positif.

Beliau menyifatkan kejohanan seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengukuhkan hubungan sosial dan jaringan komuniti secara semula jadi.

Lebih daripada sekadar pertandingan, beliau menyatakan bahawa setiap elemen dalam sukan seperti pengurusan masa, kesediaan mental dan fizikal, serta kerjasama pasukan mampu membentuk karakter individu terutamanya golongan belia.

“Kekalahan bukan kelemahan. Ia adalah ruang untuk belajar dan memperbaiki diri. Kepimpinan bermula dari sukan, dari bagaimana kita memimpin pasukan, menghormati peraturan, hingga menerima keputusan dengan hati terbuka,” tambah beliau lagi.

Kejohanan ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen tinggi pemimpin terhadap pembangunan belia dan komuniti, malah membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan Samalaju sebagai hab aktiviti belia dan sukan di Bintulu.

Dato Majang turut menyuarakan harapan agar edisi pertama ini menjadi permulaan kepada siri kejohanan berterusan, yang bukan sahaja mencungkil bakat tempatan, malah memperkukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan di kawasan Samalaju dan sekitarnya.-EDISI UKAS