MIRI: Sambutan Gawai Dayak Bazaar (GDB) Miri edisi ke-11 menyaksikan penyatuan budaya, semangat keusahawanan dan keharmonian komuniti dalam satu acara gilang-gemilang yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, di Tapak Gawai Dayak Bazaar, Permyjaya pada Sabtu.
Majlis anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) dengan tema “Bedagang, Berami, Begawai” itu turut dihadiri Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang serta wakil Pegawai Daerah Miri, SAO Edward Tarang.
Dalam ucapan perasmian, Datuk Snowdan menekankan kepentingan Gawai bukan hanya sebagai perayaan budaya, tetapi juga sebagai platform pembangunan ekonomi komuniti melalui aktiviti keusahawanan dan jalinan sosial.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi menyokong penganjuran GDB tahun ini.
“Gawai Dayak Bazaar adalah lambang kekuatan kita sebagai komuniti, bersatu, berkarya dan berusaha memperkasakan warisan melalui aktiviti ekonomi dan budaya,” katanya.
Sementara itu, Adam Yii dalam sidang media menyifatkan bazar ini sebagai simbol keharmonian bandaraya Miri.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM5,000 daripada Majlis Bandaraya Miri dan menyatakan kesediaan mempertimbangkan cadangan peluasan kawasan bazar untuk edisi akan datang.
“Acara seperti ini bukan hanya mencerminkan budaya Dayak, tetapi turut memperlihatkan semangat muhibah antara kaum yang menjadi kekuatan Miri,” katanya sambil memuji penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam acara tahunan ini.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, gimik simbolik “Nganchau Tikai”, serta persembahan istimewa oleh artis undangan Ricky Andrewson.
Gawai Dayak Bazaar 11.0 akan berlangsung dari 1 hingga 24 Mei 2025, menghimpunkan 74 gerai termasuk makanan, minuman dan kraftangan, dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan nyanyian, memasak, permainan tradisional dan pertunjukan fesyen etnik.
Tema “Bedagang, Berami, Begawai” membawa mesej mendalam iaitu Bedagang menekankan semangat berniaga, Berami menggambarkan kemeriahan dan penyertaan masyarakat, manakala Begawai merujuk kepada perayaan dan penghargaan terhadap hasil tuaian serta warisan nenek moyang.
Penganjuran Gawai Dayak Bazaar Miri 11.0 bukan sekadar pesta tahunan, tetapi bukti nyata bagaimana kekuatan budaya boleh menjadi pemacu kemajuan ekonomi dan perpaduan komuniti.-EDISI UKAS