RSK Serian 2025 Kukuhkan Perpaduan Komuniti di Siburan

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBURAN: Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Bahagian Serian Tahun 2025 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penangguhan meriah di Dewan Manggeng, Siburan, pada Sabtu.

Program anjuran Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak ini berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

RSK Serian 2025 menjadi platform penting dalam menyatukan agensi kerajaan dan komuniti melalui pelbagai aktiviti yang berlangsung sepanjang hari, dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Serian dan Pejabat Daerah Siburan serta sokongan daripada 17 agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Sebanyak lapan kampung sekitar Siburan terlibat secara langsung dalam program ini, termasuk wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kumpulan belia, menjadikan program ini sebagai ruang interaksi efektif antara pihak berkuasa dan komuniti akar umbi.

Majlis penangguhan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang turut menyampaikan amanat penting mengenai pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Perpaduan tidak hadir secara spontan. Ia mesti dipupuk dalam hati setiap rakyat. Inisiatif seperti RSK membuka ruang kepada dialog, pemahaman dan hubungan berkualiti tanpa mengira bangsa, umur atau agama,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, program sebegini menyokong aspirasi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030, serta memastikan tiada golongan masyarakat tercicir dalam arus pembangunan.

Wakil Residen Bahagian Serian, Rashdan Hazemi dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada semua agensi dan penduduk tempatan yang berganding bahu menjayakan program ini.

“Randau ini menjadi bukti bahawa perpaduan dan kerjasama rentas sektor adalah tonggak kepada keharmonian sosial di Sarawak.

“Ia bukan sekadar program, tetapi satu gerakan komuniti,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebanyak 14 siri RSK telah dijalankan sepanjang 2024, dan sebanyak 12 siri dirancang bagi tahun ini, termasuk pelaksanaan di Siburan yang disifatkan sebagai lokasi bertuah.

Antara pengisian sepanjang program ialah Mini Solidariti Town Hall, Dialog Isu Sosial, Sukan Solidariti Komuniti dan Malam Solidariti Komuniti yang menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari dan wakil Setiausaha Tetap KPWK Sarawak, Mohd Syahrulnizam Jamalludin yang menunjukkan komitmen padu kerajaan dalam memperkukuh jaringan antara pentadbiran dan rakyat.

RSK Serian 2025 sekali lagi membuktikan bahawa semangat kesepaduan dalam kalangan rakyat Sarawak kekal utuh dan menjadi pemacu penting ke arah pembangunan komuniti yang sejahtera dan inklusif.-EDISI UKAS