PADAWAN: Peranan wanita sebagai penggerak komuniti terus diperkukuh apabila Biro Wanita Kampung Emperoh Garung berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Sempena Pra Gawai dengan penuh meriah dan gemilang di Dewan Persatuan Biperoh Kuching, Jalan Puncak Borneo, pada Sabtu.
Majlis yang menghimpunkan lebih 500 tetamu itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Jerip memuji inisiatif dan dedikasi Biro Wanita Kampung Emperoh Garung yang terus aktif memperkasakan peranan wanita luar bandar.
Beliau menyifatkan wanita sebagai ejen perubahan yang berpotensi besar dalam memacu pembangunan ekonomi desa melalui aktiviti keusahawanan dan penglibatan komuniti.
Sebagai sokongan kepada usaha keusahawanan tempatan, beliau mengumumkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada biro tersebut bagi memperkasa penghasilan kerepek pisang yang kini semakin mendapat sambutan dan berpotensi dikembangkan sebagai produk desa yang berdaya saing.
Datuk Dr Jerip turut menekankan kepentingan memelihara budaya, kebersihan dan warisan seni bina kampung, khususnya yang terletak dalam kawasan Sarawak Delta Geopark.
Beliau malah mengajak komuniti untuk memanfaatkan keindahan alam semula jadi sebagai aset pelancongan dan sumber pendapatan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan beberapa inisiatif pembangunan infrastruktur yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut, termasuk projek naik taraf parit pada tahun 2025 serta pemasangan lampu jalan dari simpang Penjara Puncak Borneo ke Kampung Annah Rais secara berfasa dengan peruntukan RM3 juta.
Sebagai langkah jangka panjang memperkasakan ekonomi luar bandar, beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah “Coffee Campus” di Jambu Bayur yang bakal mengangkat jenama kopi tempatan seperti Kopi Katup dan Kopi Mambong ke tahap lebih tinggi.
Majlis ini turut menjadi platform bagi beliau menjemput penduduk setempat ke Rumah Terbuka Gawai Premier Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 1 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, SAO Julius Scott Sapong; Pemanca Raymond Jihap, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching serta para pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.-EDISI UKAS