Program Borak Santai Bersama Datuk Rubiah Eratkan Ukhwah di Kampung Baru

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Walaupun Syawal telah melabuhkan tirainya, kemeriahan dan semangat ukhwah masih dirasai di Kampung Baru melalui Program Borak Santai Bersama YB Datuk Rubiah Wang yang telah diadakan di perkarangan Masjid Darul Naim Kampung Baru, Samarahan pada Sabtu.

Program ini menjadi platform mesra rakyat yang memberi peluang kepada penduduk kampung untuk berinteraksi secara langsung dengan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Dalam ucapannya, Datuk Rubiah menekankan bahawa program seperti ini amat penting dan bermakna kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pandangan, meluahkan permasalahan serta mendapatkan penjelasan secara terus mengenai tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil demi kemajuan kampung di kawasan Parlimen beliau.

“Semua idea dan pandangan yang dikemukakan oleh penduduk kampung akan saya manfaatkan sepenuhnya demi pembangunan kawasan yang lebih mampan dan sejahtera,” ujar beliau.

Program turut diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin komuniti termasuk Penghulu Kampung Baru, Man Mok; Ketua Kaum Kampung Baru Hulu, Juli Mohammad; Ketua Kaum Kampung Baru Hilir, Dolhadi Janie; dan Ketua Kaum Kampung Baru Tengah, Sourabaya Leman.

Sambutan hangat daripada penduduk membuktikan bahawa pendekatan santai dan terbuka ini mampu memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, sekaligus menjana idea-idea baharu untuk pembangunan bersama. -EDISI UKAS