KOTA SAMARAHAN: Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile terus menjadi inisiatif proaktif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, sejak dilancarkan pada 2023, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 pengunjung di lapan lokasi di seluruh negara.
“Program ini menjadi wahana utama KKDW menyantuni masyarakat desa secara lebih dekat, terutama di kawasan yang tidak mempunyai PKD fizikal atau jauh dari pusat bandar,” katanya ketika merasmikan siri pertama PKD Mobile 2025 di Perkarangan Parkir Lot Aiman Mall, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Rubiah, PKD Mobile membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta terus ke kawasan luar bandar, sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan maklumat, membuat permohonan bantuan dan menerima khidmat nasihat tanpa perlu ke bandar.
Sebanyak 17 kementerian, jabatan dan agensi termasuk RISDA, MARA, FELCRA, JPJ, KEMAS, PTPTN, PERKESO dan Telekom Malaysia terlibat dalam program kali ini yang turut menawarkan jualan Rahmah dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus.
Kota Samarahan menjadi lokasi pembuka kepada enam siri jelajah PKD Mobile tahun ini, merangkumi dua lokasi di Semenanjung Malaysia, dua di Sabah dan dua di Sarawak.
“Di Sarawak hanya terdapat enam PKD fizikal, dan faktor geografi yang luas menjadikan PKD Mobile serta Mini PKD Mobile sebagai langkah penting memperluas capaian perkhidmatan secara inklusif dan efektif,” katanya.
Tambahnya, PKD Mobile akan terus diperkasa sebagai pemangkin pembangunan desa sejajar aspirasi Desa Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial dan pembangunan seimbang.
Program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti latihan mencanting, pertanian lestari, senamrobik, pertandingan karaoke, Bintang Cilik, kuiz Kahoot, sukaneka desa serta cabutan bertuah yang menarik penyertaan belia dan kanak-kanak.
Sebagai pelengkap, KKDW turut memperkenalkan Mini PKD Mobile yang merupakan pendekatan berskala kecil dan fleksibel untuk komuniti yang sangat terpencil.
Majlis perasmian turut dihadiri Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato' Dr. Roslan Mahmood; Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak; Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Abang Ismawi Abang Ali; Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Noraina Masduki @ Abdul Hanan; Pengarah Bahagian Agromakanan dan Program Khas Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil (RISDA), Nor Azwa Md Salim, barisan kepimpinan tempatan dan komuniti setempat. - EDISI UKAS