Special Olympics Sarawak 2025: Pasukan Samarahan Juara Keseluruhan Acara Trek & Padang

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pasukan Samarahan telah muncul juara keseluruhan acara trek dan padang temasya Special Olympics Sarawak 2025 yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Ahad.

Dengan mengumpul pingat sebanyak 14 emas, 16 perak dan 9 gangsa, pasukan itu mendominasi acara trek dan padang di mana mereka turut memenangi empat emas pada hari terakhir.

Pasukan Kuching biarpun mengungguli pada hari pertama namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan pungutan pingat sebanyak 11 emas, 13 perak dan 13 gangsa di mana hari terakhir menyaksikan mereka berjaya memperoleh tiga pingat emas.

Tempat ketiga keseluruhan pula diduduki oleh Pasukan Sibu dengan pungutan pingat sebanyak 10 emas, 12 perak dan 15 gangsa di mana hari terakhir menyaksikan pasukan tersebut memperoleh empat emas.

Manakala, Pasukan Bintulu menduduki tempat keempat dengan pungutan lapan emas, empat perak dan tujuh gangsa di mana pungutan pingat sebanyak dua emas diperoleh pada hari terakhir.

Pasukan Miri pula menduduki tempat kelima dengan pungutan pingat sebanyak lapan emas, empat perak dan satu gangsa di mana pungutan pingat sebanyak tiga emas pada hari terakhir.

Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Ketika ditemui media, Dato Sri Fatimah berkata, Special Olympics Sarawak ini mencapai sasaran untuk memberi peluang kepada atlet kelainan upaya untuk melibatkan diri dalam bidang kesukanan.

Jelasnya, ini sejajar dengan motto Special Olympics Sarawak bertujuan pengiktirafan kepada mereka yang berani mencuba.

"Ia memberikan satu forum kepada bagi mereka untuk memperkasakan diri serta membina keyakinan dan mengangkat maruah diri yang menjadi kepentingan penganjuran ini.

"Penganjuran ini juga semestinya untuk membolehkan mereka merasa kegembiraan di mana ada sesuatu yang mereka boleh nantikan dalam kehidupan.

"Ini ditambah dengan para atlet ini boleh bersosial antara satu sama lain tidak kira sama ada kawan lama atau baharu semasa Special Olympic ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata pertandingan ini juga ruang untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan atlet kelainan upaya terutamanya untuk Special Olympic Game Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Ipoh pada bulan Jun. -EDISI UKAS