BINTULU: Pelestarian budaya dan jati diri tempatan terus diberi nafas baharu menerusi penganjuran Karnival Sukan dan Permainan Tradisional Peringkat Bahagian Bintulu 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Bintulu ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Dalam ucapannya, Johnny Pang menekankan bahawa permainan tradisional bukan sekadar hiburan, tetapi warisan penting yang perlu terus dipertahankan dalam era moden.
“Permainan tradisional adalah cerminan identiti bangsa. Ia mengajar kita tentang perpaduan, ketangkasan, dan nilai murni. Menerusi penganjuran seperti ini, kita bukan sahaja menyuburkan semangat kesukanan, malah memperkenalkan semula warisan kepada generasi muda,” ujarnya.
Antara permainan tradisional yang dipertandingkan termasuk congkak, dam aji, galah panjang, tarik upih, ketingting, batu seremban, batak lampong, konda kondi, terompah gergasi, guli, tarik tali, dan menyumpit – menyaksikan penyertaan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Karnival ini bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim dalam komuniti, malah turut memperkukuh nilai budaya sebagai elemen penting dalam pembinaan masyarakat yang progresif dan beridentiti.
Penganjuran kali ini dilihat bukan sekadar memperkenalkan semula permainan tradisional, tetapi juga mengangkat semula nilai kebersamaan dan gaya hidup aktif yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat harmoni.-EDISI UKAS