Pengusaha Inap Desa Bario Diiktiraf Sebagai Duta Budaya

Posted on 04 May 2025
Source of News: UKAS


BARIO: Seramai 55 pengusaha inap desa di Tanah Tinggi Bario diraikan dalam Majlis Penghargaan Homestay Bario Highlands 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam memajukan pelancongan komuniti di kawasan pedalaman itu.

Majlis anjuran Persatuan Pengusaha Homestay Bario dengan kerjasama Pusat Khidmat Mulu pada Sabtu itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala yang juga merasmikan acara berkenaan.

Dalam ucapannya, Datuk Gerawat menegaskan peranan penting yang dimainkan oleh para pengusaha inap desa sebagai jambatan antara pelancong dan warisan budaya setempat.

“Homestay bukan sekadar tempat bermalam, ia adalah pintu masuk kepada pengalaman kehidupan masyarakat kita yang kaya dengan nilai, warisan dan keramahan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan komuniti dalam memastikan kualiti perkhidmatan inap desa sentiasa berada pada tahap terbaik, sekaligus menjadikan mereka ‘duta kecil’ negeri Sarawak di mata dunia.

Majlis itu turut menjadi medan penyatuan komuniti, membangkitkan semangat kerjasama untuk terus memperkasa sektor pelancongan berasaskan komuniti di Bario.

Kejayaan program inap desa di kawasan ini dilihat sebagai contoh terbaik bagaimana inisiatif tempatan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pemuliharaan budaya dan pembangunan mampan luar bandar.

Turut hadir ialah Pemanca Celleena Lallang Sakai selaku Ketua Masyarakat Kelabit Daerah Kecil Bario, Penghulu Paran Matu, dan Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Lilla Raja. - EDISI UKAS