KUCHING: Rejimen Askar Wataniah merupakan 'jambatan' penghubung di antara masyarakat dengan anggota-anggota badan beruniform.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebagai barisan kedua dalam mempertahankan kedudukan negara dari sebarang ancaman musuh negara, Rejimen Askar Wataniah dapat mendisiplinkan masyarakat dengan pengetahuan ilmu ketenteraan.
Malah jelasnya, penyertaan dalam Askar Wataniah dapat membentuk hubungan erat di antara rakyat dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Bagi saya Rejimen Askar Wataniah adalah penghubung di antara pasukan beruniform dengan orang yang tidak beruniform.
“Kita mempunyai asas yang sama, objektif yang sama. Sebab itu saya meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan pegawai-pegawai kanan kerajaan memasuki Askar Wataniah.
“Dan setidak-tidanya ada perhubungan yang baik, 'jambatan' di antara masyarakat dan juga kumpulan-kumpulan yang beruniform,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Makan Malam bersempena dengan Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 35/2024 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, semasa berhadapan dengan pandemik Covid-19, pihak perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan seperti dan tentera dan polis merupakan satu pasukan yang sanggup berkorban dalam menghadapi ancaman bagi memastikan keselamatan rakyat dan keamanan negara.
“Sebab itu ketika Covid-19 berlaku, kita ada Operasi Benteng dan dalam operasi tersebut saya telah bekerjasama dengan pihak tentera.
“Di bawah Operasi Benteng, bukan sahaja kita melihat kawasan di perbatasan tetapi juga hubungan kita dengan negara jiran,” tambahnya.
Difahamkan, SKAW berperanan penting sebagai penasihat kepada Panglima Tentera Darat dalam setiap perihal berkaitan Rejimen Askar Wataniah.
Hadir sama, Komander Rejimen 504 (AW) Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Isteri Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Komander Rejimen 513 (AW) Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Komander Rejimen 512(AW) Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Raja Brigedier Jeneral Dato Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Mahmud Al Muktafi Billah Shah serta isteri To' Puan Seri Zuraiana Ismail, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Komander Rejimen 510 (AW) Brigedier Jeneral Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Hajah Baduyah Bujang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai serta isteri Datin Sri Melia Gelen dan Timbalan Panglima Tentera Darat merangkap Pengerusi SKAW Siri 35/2024 Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim. -EDISI UKAS