Muaythai Kenyalang Rangkul Kejuaraan Piala TYT Sarawak

Disiarkan pada 04 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kelab Muaythai Kenyalang berjaya memenangi Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching di sini pada Sabtu.

Dengan pungutan pingat sebanyak 22 emas, 7 perak dan 29 gangsa, kelab berpangkalan di Kuching itu berjaya membawa pulang piala pusingan.

Kelab Sting Muaythai pula menduduki tempat kedua dengan pungutan pingat sebanyak 13 emas, tujuh perak dan 20 gangsa yang turut membawa pulang piala pusingan.

Kelab PS Muaythai Bintulu pula menduduki tempat ketiga dengan pungutan 11 emas 17 gangsa dan 28 gangsa manakala kelab Phoenix Meranek berjaya menduduki tempat keempat dengan pungutan 9 emas, enam perak dan 15 gangsa.

Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu yang mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Hadir sama, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Frederick; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau dan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak, Jumaat Ibrahim.

Sementara itu, Dato Gerald ketika ditemui media berkata, kejohanan ini merupakan platform yang sesuai kepada atlet muaythai di luar sana untuk mempamerkan bakat mereka selain mengangkat sukan muaythai di negeri ini.

Jelasnya, sukan muaythai berkembang pesat di Sarawak menyaksikan penyertaan daripada pelbagai bahagian di negeri dalam kejohanan itu, termasuk penyertaan daripada negara-negara lain.

"Kita pun melihat tadi bukan sahaja di Kuching saja, ada kelab dari Bintulu, dari Sibu, Miri dan Semarahan dan sebagainya.

"Semua memang dah ada, dan ini menunjukkan satu minat kepada sukan ini memang rancak.

"Kita dari Kementerian memang suka kalau ada kumpulan atlet yang besar, budak-budak itu senang kita dapat latih dan juga mendapatkan bakat-bakat untuk melahirkan atlet mewakili Sarawak dan negara," jelasnya.

Beliau turut menyeru agar Kejohanan Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi edisi ke-10 dapat diawalkan bagi memberi persiapan kepada atlet yang akan mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 yang akan diadakan di Selangor kelak.

Dalam pada itu, Jumaat memberitahu, pihak persatuan telah melaksanakan beberapa persiapan dalam usaha mencungkil bakat di seluruh Sarawak.

"Persatuan Muaythai Negeri Sarawak sentiasa memikirkan cara untuk mencungkil bakat pelapis tempatan terutamanya anak-anak muaythai.

"Kita telah ada beberapa perancangan selain daripada Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak di mana kita akan adakan Piala Borneo, Bintulu Challenge seterusnya di Miri, Sibu dan sebagainya," jelas beliau.

Tambahnya, ini merupakan usaha pihak persatuan untuk menjaga mutu sukan itu di Sarawak agar dapat setanding dengan negeri-negeri lain mahupun negara luar. -EDISI UKAS