BARIO: Satu majlis penuh bermakna telah diadakan di Daerah Kecil Bario pada Sabtu bagi memperingati jasa dan pengorbanan para veteran serta keluarga pejuang masyarakat Kelabit yang pernah berganding bahu bersama pasukan khas Z-Semut dalam menentang penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Majlis Penyerahan Token Peringatan itu telah dianjurkan oleh Persatuan RURUM Kelabit Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat N78 Mulu, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Semasa berucap, Datuk Gerawat menjelaskan bahawa Z-Semut, sebuah unit khas di bawah Z Force kendalian pihak Sekutu, telah menjalankan operasi rahsia di pedalaman Sarawak pada 1945 dengan sokongan penuh masyarakat tempatan, khususnya komuniti Kelabit.
“Keberanian dan kerjasama erat antara pasukan khas ini dan masyarakat tempatan menjadi asas kejayaan dalam membebaskan wilayah dari cengkaman penjajah Jepun,” ujarnya.
Menjelas lanjut, Datuk Gerawat memberitahu bahawa kejayaan operasi tersebut bukan sahaja dari segi ketenteraan, malah membawa perubahan ketara dalam landskap sosial dan budaya masyarakat Kelabit.
"Interaksi dengan dunia luar telah membuka peluang baharu dan memberi inspirasi kepada generasi muda Kelabit untuk berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia selepas perang," tambah beliau.
Majlis tersebut bukan sekadar untuk mengenang jasa, tetapi juga menjadi wadah pendidikan sejarah kepada generasi muda agar menghargai perjuangan dan memahami peranan penting masyarakat tempatan dalam mempertahankan tanah air.
Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Lilla Raja serta komuniti setempat.-EDISI UKAS