KOTA SAMARAHAN: Seramai 91 orang bakal jemaah haji dari kawasan Parlimen Kota Samarahan disantuni menerusi Program Lambaian Kasih Dhuyufurrahman 1445H/2025M yang berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Jumaat.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat P197 Kota Samarahan dan PERKIM Cawangan Samarahan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Dalam ucapannya, Datuk Rubiah berharap agar segala ilmu yang disampaikan dalam program tersebut dapat dihayati dan diamalkan sepanjang jemaah menunaikan ibadah di Tanah Suci.
“Semoga segala urusan haji tahun ini dipermudahkan dan dikurniakan haji yang mabrur serta diterima oleh Allah SWT,” katanya.
Program itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada para jemaah serta sesi taklimat ibadah haji yang disampaikan oleh Pegawai Agama Islam Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi.
Datuk Rubiah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pusat Khidmat P197, PERKIM Cawngan Samarahan, Baitulmal Samarahan serta sukarelawan yang menjayakan program berkenaan. - EDISI UKAS