SRI AMAN: Parti Demokratik Progresif (PDP) telah menganjurkan Program Pra Gawai 2025 dan Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung meriah di Rumah Panjang Langkat, Kedang, Sri Aman.
Majlis anjuran PDP Bahagian Simanggang pada Sabtu ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PDP merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep bagi mewakili Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing.
Turut hadir memberikan sokongan padu ialah barisan kepimpinan kanan PDP termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Meluan, Rolland Duat; ADUN Krian, Friday Belik dan ADUN Engkelili, Dr Johnical Rayong.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan PDP untuk mendekati rakyat, merapatkan jurang antara pemimpin dan komuniti serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan luar bandar.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan tempatan serta kehadiran Tuai Rumah Langkat Abang bersama para tuai rumah dari kawasan sekitar.
Kehadiran mereka menunjukkan sokongan dan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan PDP yang inklusif, progresif dan sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat.
Sebagai sebahagian daripada usaha pengukuhan parti, Dato Henry turut menerima borang keahlian baharu PDP bagi kawasan N.32 Simanggang, dengan jumlah pendaftaran seramai 1,400 ahli baharu.
Perkembangan ini membuktikan keyakinan berterusan rakyat terhadap hala tuju dan perjuangan parti dalam memperjuangkan suara serta kepentingan masyarakat di akar umbi.
PDP akan terus komited menjadi suara rakyat dan mengangkat agenda pembangunan luar bandar selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak. -EDISI UKAS