Koperasi Sekolah Platform Asuh Anak Bijak Mengurus

Posted on 03 May 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Koperasi sekolah bukan sekadar sebuah kedai, sebaliknya ia ibarat makmal kehidupan untuk mengasuh anak-anak menjadi insan yang bijak mengurus, tahu menilai untung rugi, dan yang paling penting, membina nilai diri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata melalui koperasi, pelajar tidak hanya belajar menjual barang, tetapi juga belajar tentang kejujuran, tanggungjawab, kerja berpasukan dan etika keusahawanan.

“Jualan koperasi seperti hari ini adalah peluang keemasan untuk pelajar mengaplikasikan teori dalam bentuk tindakan.

“Mereka merancang, mengurus dan berinteraksi — kemahiran sebenar yang bakal membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan yang berkaliber.”

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Hari Koperasi SMK Tong Hua Tahun 2025 pada Sabtu.

Datuk Ding turut mengucapkan kepada seluruh warga SMK Tong Hua atas inisiatif murni ini sambil berharap semangat koperasi terus subur, menjadi budaya yang mendidik dan membina.
Selain itu, beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah atas jemputan menjayakan program yang cukup istimewa ini bersama warga pendidik dan pelajar.

Sempena Hari Koperasi, Datuk Ding akan menyalurkan geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM2,000 kepada Koperasi Sekolah SMK Tong Hua.

Selain itu untuk menjalankan aktiviti tahunan bernilai RM5,000 kepada SMK Tong Hua, RM 3,000 masing-masing kepada SJK (c) Tong Hua, SK Sg Tulai dan SK Sg Kawi.

Manakala untuk pemasangan skrin LED Dewan SMK Tong Hua akan disertakan dalam Permohonan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP). - EDISI UKAS