Special Olympics Sarawak 2025: Pasukan Kuching Sasar Beri Pengalaman Kepada Atlet

Posted on 03 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Biarpun mengungguli hari pertama untuk sukan trek dan padang bagi Special Olympics Sarawak 2025, pasukan Kuching tidak mensasarkan apa-apa pingat tapi sebaliknya menggunakan peluang untuk memberi pengalaman kepada atlet untuk berentap.

Pembantu jurulatih pasukan Sarawak untuk sukan trek dan padang, Nur Sofia Nabila Rozlan memberitahu, hal ini terutamanya memberi peluang kepada muka-muka baharu yang tidak pernah bertanding.

"Dalam Special Olympics 2025 ini, kita tidak sasar siapa yang menang dan siapa yang kalah, kita memang lebihkan kepada menimba pengalaman sebab kebanyakan mereka atlet yang jarang keluar dengan pertandingan ini menampilkan 50 peratus atlet baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Special Olympics Sarawak 2025 bagi Sukan Trek Dan Padang di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Sabtu.

Tambah Nur Sofia, pengalaman berharga terutamanya menyesuaikan atlet kelainan upaya dalam pertandingan terutamanya muka-muka baharu yang tidak selesa dengan keadaan sepanjang pertandingan.

Pasukan Kuching mempertaruhkan 19 atlet bagi sukan trek dan padang dengan menyertai kesemua 24 acara yang dipertandingkan. -EDISI UKAS